Tarikh asal post : 8 Februari 2017 " MY HERO "

Kerana memori
Sebuah kerinduan bisa hancur

Jan 23, 2017
12.20pm

Satu panggilan dari seseorang yang tidak dikenali muncul di skrin talefonku
Tertera nama "abah" tetapi suara org lain

"Hello assalamualaikum. Ini waris En Anuar ke?"

"Yer saya anak En Anuar. Kenapa ya?"

"Oh anak. Saya ingat kakaknya kerana En Anuar save no cik "kakak". Saya nak beritahu ini. Ayah cik terlibat dalam kemalangan di petronas Batu Caves. Boleh cik datang dgn segera?,"

"Allah..hmm..saya tiada kenderaan nanti saya hubungi en. Boleh saya minta nombor encik?"

_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _

Abah dimasukkan ke zon merah di Hospital Selayang. Kritikal. Doktor mengesahkan sudah 3 kali denyutan jantung abah berhenti.



Kali terakhir ain berjumpa dengan abah 3 bulan lepas. Itu pun dalam situasi yang paling meninggalkan kesan yg mendalam sakitnya.

Kini aku hanya melihat sekujur tubuh yang tidak bergerak bahkan tidak celik melihat dunia. Terpaksa aku tidak memberitahu adik bongsuku. Supaya dia tidak tahu yang aku bawa dia bertemu dgn abah.

Tidak mampu ku bersuara. Terasa perit sekali mataku merembeskan air mata.

Pada jam 3.45 pagi baru abah dipindahkan ke CCU aras 5 bilik 8. Ain terlelap di luar sementara menunggu keizinan untuk masuk ke dlm wad tersebut. Akhirnya pada jam 6 pg baru dibenarkan.

Seminggu untuk ain reda dari tangisan. Tiba2 saudara pahang yg dirawat di hosp ini meninggal dunia. Terus kami bergegas ke bilik forensik. Ketika itulah redha muncul dalam hati.

"Seandainya masih lagi diberi peluang untuk dipanjangkan umur,hanya satu yang ain mahukan yakni keluarga yg sakinah mawaddah

==================================================================
February 5, 2017

Genap 2 tahun abah dan mama bercerai. Ain berulang alik ke Hospital Selayang dari Sungai Buloh dengan menaiki KTM. Ambil cuti untuk jaga abah. Banyak sangat tali yang berselirat di dada abah. Wayar didalam kerongkong abah. Kulit abah makin mengendur. Lelangit abah makin menghitam. Luka dikaki abah semakin pulih. Paling ku kesali ialah, tabung kahaknya penuh dengan lendiran yang berwarna hitam. Saat itu, memang Ain bertekad tidak mahu suami yang merokok. Tidak mahu berlaku kali kedua keatas diriku dengan peristiwa yang sama. Tiada yang positif yang berlaku sepanjang aku menjaga abah.

Tapi ada satu hari abah tersedar dan ketika itu, adik Uyun yang menjaga abah. Abah sedar lalu abah menulis dengan tidak jelas. Abah hendak minum air oren.


______________________________________________________________________________
 February 14, 2017

Tarikh kemasukkan Ijazah Sarjana Muda telah keluar. Malam itu Ain ambil keputusan untuk tidur di hospital kerana esoknya abah akan menjalani pembedahan trakeostonomi iaitu pembedahan tebukan pada leher. Abah terlalu lama memakai mesin ventilator dan doktor takut dijangkiti kuman.

Keesokkan paginya Ain menunggu dari jam 11 pagi sehingga jam 1 petang diluar pintu bilik bedah. Hati rasa sangat berkecamuk dan takut. Ain nak beritahu abah yang Ain dapat sambung Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Operasi di UiTM Puncak Alam. Kursus yang memang ain nak dan universiti yang tepat berdekatan dengan rumah. Ain nak abah orang pertama yang tahu berita tersebut.

Pintu terbuka dan katil abah mula kelihatan keluar. Alhamdulillah pembedahan abah selamat dan berjaya. Lalu Ain teringat kata-kata doktor.

            " Jika cik bersetuju dengan pembedahan ini, banyak hal yang perlu cik tahu berkaitan ini. "

            " Apa maksud doktor?"

            " Selepas pembedahan tebuk pada leher, cik kena pantau ayah cik sentiasa. Pastikan tebukannya itu dicuci dan dari segi penjagaan mesti rapi. Cik bekerja?"

             " Ya. Saya bekerja"

             " Jika ada sesiapa yang boleh jaga ayah cik tak mengapalah. Tetapi jika tiada sesiapa yang boleh menjaga ayah cik, cik kena ambil cuti. Paling sekejap 6 bulan. "


Ain bingung. Bulan 3 Ain kena mendaftarkan diri di UiTM.



_______________________________________________________________________________

Februari 16, 2017

Abah celik mata sepanjang hari. Ain berbual dengan abah sepuasnya walaupun tiada balasan dari abah. Setiap kali abah ingin menutup mata, Ain menggerakkan abah supaya tidak tidur. Ain zikir nuril mubin di telinga abah, Ain cuci muka, telinga, misai,badan, tangan dan kaki guna tisu basah. Ain bedakkan abah.

Alang datang menziarahi abah. Ketika itu, Ain pakaikan abah earphone dan call opah. Opah bercakap dengan abah melalui talefon. Lusa opah akan gerak ke Mekah untuk umrah.

                                     " Nuar.Nuar tetap menantu yang baik untuk mak. Mak minta maaf tak dapat melawat Nuar. Mak jauh di Pahang. Nuar cepat sembuh. Haritu Nuar kata Nuar teringin nak makan ikan patin masak tempoyak. Mak masak tapi Nuar tak balik pun. Rupanya Nuar eksiden." (dalam keadaan sedu menangis )

                                    " Mak dah upah orang buatkan umrah untuk Nuar. Nuar kena kuat semangat. Anak mak kena cepat sembuh. Mak tak marahkan Nuar. Nuar satu-satunya menantu mak untuk Zulraini."

Air mata abah mengalir disudut tabir mata. Tumpah sedikit demi sedikit. Tidak mampu mengeluarkan suara. Abah terlalu sedih semasa itu.

________________________________________________________________________________

Panas jangan disangka tiada hujan. Terkadang hujan panas boleh berlaku. Dan ia bisa membawa kepada mendung yang tiada berawan.

February 18, 2017

Kami sekeluarga bersiap untuk ke hospital. Pihak hospital menelefon Ain untuk datang segera. Bila ditanya mengapa mereka mengatakan perlu datang sahaja. Malangnya pagi itu, kenderaan awam sukar betul didapati. Tambahan pula hari tersebut ada himpunan RUU355, jadinya suasana didalam KTM sungguh sesak. Pihak hospital menelefon lagi.

Tepat pada jam 3 petang baru kami sampai diperkarangan hospital. Ain terus ke CCU, namun jururawat disana memaklumkan bahawa abah telah pun dipindahkan di wad biasa. Alhamdulillah. Abah dah semakin pulih. Ain bergegas naik ke wad 5C. Sampai di wad tersebut Ain terus ke kaunter dan berjumpa dengan Doktor Izz.

" Cik Intan ya. Minta maaf pihak hospital tidak dibenarkan memberi maklumat didalam talefon."

"Tak mengapa.Macam mana ayah saya? Ayah saya katil nombor berapa?"

"Ayah cik katil nombor 11. Sebelum itu saya harap cik bawa bertenang, ayah cik........" 

Belum sempat doktor menghabiskan ayat Ain terus meluru ke katil 11. Hati berasa tidak tenang seolah ada sesuatu yang berlaku. Mama yang terus bercakap dengan doktor tersebut. Ain terlihat ada sebuah katil yang tertutup langsirnya. Ain melihat nombor katil sebelah. Nombor 10 bermakna katil ini ialah..............

" ALLAHH................" 
Terasa hendak rebah. Dengan perlahan Ain menolak langsir dan ternyata itu adalah katil yang dicari. Sekujur tubuh yang ditutupi dengan kain selimut putih. Tanganku ketar. Mataku seolah tiada rembesan yang keluar. Adik- adikku baru sampai ke katil abah dan mereka juga seolah tidak percaya apa yang berlaku. Dengan perlahan aku menyelak kain tersebut. 

Ya..ini adalah abahku. Abah telah meninggal dunia pada jam 2.23 petang. 3o minit sebelum Ain sampai. Mengapa pihak hospital tidak memberitahu akan memindahkan abah ke wad biasa??

Ain menolak katil abah menuju ke bilik mayat untuk pengurusan mandi jenazah. Setibanya disana, keluarga belah abah sudah sampai. Ain terus bersama cikna ke kaunter polis untuk membuat laporan mengeluarkan jenazah untuk dimandikan dan dikebumikan pada hari itu juga.

5.00 petang
Ain, angah, adik uyun dan Ilan bersama-sama memandikan jenazah abah. Sayu rasanya. Kami juga turut serta dalam memakaikan baju baru untuk abah. Menyapu bedak ke muka abah.


6.30 petang
Van jenazah bergerak ke Apartmen Teratai untuk solat jenazah disana. Hujan mengiringi sepanjang perjalanan kami kesana. Kawan baikku, Anuar turut mengikuti kami ke sana. Kami adik beradik kecuali Ilan menaiki van Jenazah.

8.00 malam. 
  Solat jenazah bermula. Semua ahli keluarga telah cukup berkumpul. Kami terus ke tanah perkuburan Bukit Beruntung. Pada mulanya, Ain masih kuat. Tidak mahu menumpahkan air mata.
Tetapi saat masuk ke terowong gelap menuju ke tanah perkuburan,

" ALLAHH... disinikah aku ingin meninggalkan abah? Gelap dan jauh dipenghujung jalan. " detik dan tangisku didalam hati.




Semoga abah baik dan aman disana. Kakak rindu abah. Dan terasa sedih bila mengenangkan kali terakhir kita berjumpa dalam keadaan yang sangat sedih 3 bulan yang lepas. Kita bergaduh kecil sehingga hati ini betul kecewa. 

" Abah yang janji nak ambil kakak. Kakak tungguh satu hari abah tak sampai."
"Abah jangan menyesal kalau abah tak dapat jumpa kakak lagi."
Abah langsung tidak mempedulikan tangisan aku saat itu. Tetapi rupanya itu adalah petanda yang abah kali terakhir mengambil aku. Ya.. aku perasan. abah hanya menghantar aku semasa mula-mula masuk universiti dan hanya menjengukku 3 kali sepanjang 3 tahun di universiti. Dan abah juga yang mengambilku pada hari terakhir aku menamatkan diploma di UiTM.






Terima kasih abah.



Comments

Popular posts from this blog

Adakah kau begitu juga ASR

Ada apa dengan mimpi